Sunday, June 27, 2010

Semangat Baru

Kira-kira dah setahun tidak menulis dalam blog ini. Sibuk? Itu hanya pertanyaan biasa.Sesibuk mana pun, tentu ada masa juga untuk menulis satu dua ayat mengisi ruang blog.Sebutlah tidak ada dorongan dari Allah, Tuhan seluruh isi langit dan bumi.
Manusia hanya makhluk lemah, seringkali terbawa-bawa oleh fikiran, perasaan, nafsu dan juga godaan syaitan.
Hari ini dapat dimulakan semula catitan dalam blog ini dan semoga akan berlanjutan,insyaAllah.

Thursday, July 9, 2009

Misi Kemanusiaan

Kamis 9 Julai 2009:Superb ialah perkataan Inggeris bermakna sangat bagus. Superb juga ialah singkatan kepada Sukarelawan Perubatan Bebas. Benihnya bertunas di Kelantan dan perlahan-lahan membesar.

Pada hari Rabu 1 Julai 2009, sukarelawan Superb serta dibantu oleh beberapa sukarelawan dari badan-badan lain berlepas ke Aceh Nanggroe Darul Salam. Jumlah sukarelawan ialah 22 orang lelaki.

Setibanya di Banda Aceh, rombongan itu dibawa bertemu dengan Drs.Irwandi Yusuf, Gabenor Propensi Aceh.

Thursday, June 4, 2009

Zaman Fitnah

Juma'at 5 Jun 2009:12.20t/hari. Sewaktu menanti solat Juma'at, terlintas dalam fikiran, hari ini sedang berlangsung muktamar parti PAS, badan siasah yang cuba membawa imej Islam.

Kepada seluruh saf kepimpinan PAS serta ahli muktamar dititipkan masakini umat Islam berada di zaman fitnah.

Sesungguhnya, tidak ada seorang pemimpin Islam yang tertonjol pada hari ini dan dengan itu boleh disebut tidak ada mujadid besar di dunia Islam masakini.

Sesiapa yang menduduki saf kepimpinan umat Islam pada hari ini sama ada di peringkat jama'ah atau negara, perlu diingatkan dia bukanlah orang paling bertakwa di sisi Allah SWT.

Perlu diingatkan, berada di saf kepimpinan itu, bahaya terjerumus kepada mata benda dunia itu sangatlah besar. Kepada beberapa peribadi berkenaan, keinginan terhadap mata benda dunia mungkin boleh dikengkang atau disabarkan, tetapi bagaimana dengan kehendak ahli keluarga yang boleh bermula dari isteri, anak-anak dan waris yang nampak peluang mata benda dunia yang datang bersama dengan jawatan.

Takwa itu mudah dilafazkan, tetapi sangat sukar dicapai melainkan kepada orang yang diberi hidayah dan taufiq oleh Allah SWT.

Thursday, May 21, 2009

Kabilah Ehsan

Juma'at 22/5. Rasa rindu merindui antara satu sama lain boleh membawa kepada pertemuan. Tempat yang agak jauh tidak menjadi halangan kepada mereka yang mahu mempertautkan semula persahabatan. Lebih manis lagi bila persahabatan itu diasaskan atas dasar perjuangan Islam. Dasarnya ialah iman didalam sanubari setiap orang.

Begitulah yang berlaku di tempat bernama Nur Lembah Pansun pada hari Ahad 17/5/09. Kehadiran tidak ramai, tidak sampai 30 orang.Berlatarbelakangkan hutan dan aliran anak sungai, suasana santai itu membuahkan perbincangan yang sangat padat dengan cadangan-cadangan kearah memantapkan gagasan satu entiti perniagaan yang dipanggil Konsortium Kabilah Ehsan.

Dari apa yang dibentangkan, Konsortium ini menonjolkan syarikat-syarikat sauh atau "anchor companies" yang boleh dikira telah berjaya dalam bidang masing-masih. Antaranya Fitrah Perkasa, Galeri Ilmu, Citra, Telaga Biru, Rabbani, Hijjaz, Raihan dan beberapa lagi.

Matlamat awal Konsortium ialah mengadakan karnival Nur Oasis, pesta perniagaan yang berbentuk ekspo kesedaran Islam.

Sunday, January 11, 2009

Kaum Yang Dilaknat Allah

Yahudi telah menjadikan Gaza sebagai tempat penyembelihan rakyat Pelastin, kebanyakannya Islam.Perbuatan itu dilakukan seolah-olah satu keseronokan kerana bantahan dari penduduk dunia tidak dihiraukan oleh rejim Israel.

Tidak payahlah disebut bantahan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang terpacak di New York, Amerika Syarikat( AS ). PBB telah dimandul dan diikat tangan oleh AS. Bersuara dan bertindak atas arahan Rumah Putih.

Apa yang dilakukan di Gaza oleh Yahudi ialah perbuatan keji yang diulang-ulang kerana tidak ada kuasa besar yang sanggup campur tangan. Memang hebat pengaruh Yahudi keatas negara-negara di dunia.

Monday, December 15, 2008

Masih Lagi Di Jolo

Jolo, disebut holo, ialah sebuah bandar mundur. Beca berbasikal dan bermotosikal paling banyak diguna sebagai kenderaan. Jalan-jalan utama terutama di sekitar pasar dan kedai sesak dengan kenderaan ini.

Kereta tidak kelihatan. Lori kecil diubah menjadi kenderaan penumpang dan juga pengangkut barang. Kenderaan disini memang satu keperluan dan bukan sebagai barang mewah.

Tidak ada peraturan lalulintas yang ketara serta polis yang mengawal kenderaan. Setiap pemandu bertanggungjawab mengawal kenderaan mereka supaya tidak berlanggar.

Wilayah ini dibawah pentadbiran negara Filipina. Namun begitu, pentadbiran dari Manila lebih kepada rondaan kumpulan tentera yang sentiasa ada di mana-mana lorong.

Manila dapat mentadbir wilayah tetapi hati orang-orang Tausug tidak bersama mereka. Maka tidak hairan jika berlaku serangan dan bebalas-balas serangan diantara MNLF,MILF, ABU SAYYAF dengan tentera Filipina.

Keadaan tidak aman jadi halangan kepada pembinaan ilmu, daya fikir dan juga pembangunan. Rata-rata penduduk Pulau Sulu miskin dan jahil.

Datu Laja Mura memikul tanggung jawab besar dan amat berat dalam menyatukan kaum Tausug. Pada tarikh 17 November 2008, hari Selasa, akan diadakan Paggulal Nakura Sin United Tausug Citizens yang bermaksud perlantikan ketua kaum Tausug.

Sunday, December 14, 2008

Laja Mura

Jolo, disebut holo ialah bandar Pulau Sulu,kini ditadbir oleh kerajaan Filipina. Ini kawasan resah, panas dan mudah berdarah. Ratusan tahun penduduk pulau ini menolak kehadiran bangsa asing, tentera Filipina tidak terkecuali.

Sejarah mereka ialah kerajaan Islam kesultanan Sulu. Sejak 603 tahun dahulu Islam telah datang ke tempat mereka. Aman dan berhikmah. Sehingga sekarang hampir 100 peratus penduduk di pulau ini beragama Islam. Masjid boleh dilihat di mana-mana.

Sepanyol, bangsa kristian barat datang untuk menjajah tetapi sampai akhirnya Pulau Sulu masih kental pertahankan maruah. Amerika Syarikat yang menang melawan Sepanyol di Cuba datang sebagai bangsa kristian barat yang baru. Sehingga mereka keluar, penduduk Pulau Sulu tetap dengan maruah Islam mereka.

Pulau Sulu dirangkum dalam kemerdekaan Filipina. Maka tentera Filipina pula menjadi tempat sasaran serangan.

Perang besar berlaku sekitar akhir tahun-tahun 60an dan awal 70an. Ramai yang lari ke Sabah sebagai pelarian. Mereka dari kaum Tausug yang dirangkum dalam kelompok Bangsamoro.

MNLF, MILF, ABU SAYYAF ialah jentera perang penduduk Islam selatan Filipina yang menentang pentadbiran kerajaan Filipina.

Sengkita yang lama menjadikan penduduk ramai miskin dan jahil.

Ada di kalangan mereka mengaku waris sultan Sulu tetapi lemah dalam kepimpinan. Kebanyakan mencari peluang dari kejahilan penduduk.

Datu Laja Mura atau Datu Raja Muda dari keturunan sultan Sulu di sebelah Aranam Puyo bangun menuntut hak. Dari Lahad Datu, Sabah, Datu Laja Mura atau dipanggil juga Datu Uda menyeberang lautan luas dan kembali ke Jolo.

Cita-cita Datu Laja Mura ialah menyatukan semula kaum Tausug dibawah daulat kesultanan Sulu. Dikumpulkan kaumnya, dibuat perisytiharan kemudian berarak di keliling bandar Jolo.

Gempar penduduk Pulau Sulu. Perarakan diulang-ulang lagi di bulan-bulan kemudian sehingga mencecah ribuan para hadirin.

Naskhah al-Quran yang dikirim dari semenanjung Malaysia hasil wakaf dari umat Islam diagih-agihkan percuma di hari perarakan.

Ribuan naskhah al-Quran telah diagihkan.

Semoga al-Quran jadi ikutan dan panduan mereka. Insya'Allah.