Thursday, May 21, 2009

Kabilah Ehsan

Juma'at 22/5. Rasa rindu merindui antara satu sama lain boleh membawa kepada pertemuan. Tempat yang agak jauh tidak menjadi halangan kepada mereka yang mahu mempertautkan semula persahabatan. Lebih manis lagi bila persahabatan itu diasaskan atas dasar perjuangan Islam. Dasarnya ialah iman didalam sanubari setiap orang.

Begitulah yang berlaku di tempat bernama Nur Lembah Pansun pada hari Ahad 17/5/09. Kehadiran tidak ramai, tidak sampai 30 orang.Berlatarbelakangkan hutan dan aliran anak sungai, suasana santai itu membuahkan perbincangan yang sangat padat dengan cadangan-cadangan kearah memantapkan gagasan satu entiti perniagaan yang dipanggil Konsortium Kabilah Ehsan.

Dari apa yang dibentangkan, Konsortium ini menonjolkan syarikat-syarikat sauh atau "anchor companies" yang boleh dikira telah berjaya dalam bidang masing-masih. Antaranya Fitrah Perkasa, Galeri Ilmu, Citra, Telaga Biru, Rabbani, Hijjaz, Raihan dan beberapa lagi.

Matlamat awal Konsortium ialah mengadakan karnival Nur Oasis, pesta perniagaan yang berbentuk ekspo kesedaran Islam.

Sunday, January 11, 2009

Kaum Yang Dilaknat Allah

Yahudi telah menjadikan Gaza sebagai tempat penyembelihan rakyat Pelastin, kebanyakannya Islam.Perbuatan itu dilakukan seolah-olah satu keseronokan kerana bantahan dari penduduk dunia tidak dihiraukan oleh rejim Israel.

Tidak payahlah disebut bantahan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang terpacak di New York, Amerika Syarikat( AS ). PBB telah dimandul dan diikat tangan oleh AS. Bersuara dan bertindak atas arahan Rumah Putih.

Apa yang dilakukan di Gaza oleh Yahudi ialah perbuatan keji yang diulang-ulang kerana tidak ada kuasa besar yang sanggup campur tangan. Memang hebat pengaruh Yahudi keatas negara-negara di dunia.

Monday, December 15, 2008

Masih Lagi Di Jolo

Jolo, disebut holo, ialah sebuah bandar mundur. Beca berbasikal dan bermotosikal paling banyak diguna sebagai kenderaan. Jalan-jalan utama terutama di sekitar pasar dan kedai sesak dengan kenderaan ini.

Kereta tidak kelihatan. Lori kecil diubah menjadi kenderaan penumpang dan juga pengangkut barang. Kenderaan disini memang satu keperluan dan bukan sebagai barang mewah.

Tidak ada peraturan lalulintas yang ketara serta polis yang mengawal kenderaan. Setiap pemandu bertanggungjawab mengawal kenderaan mereka supaya tidak berlanggar.

Wilayah ini dibawah pentadbiran negara Filipina. Namun begitu, pentadbiran dari Manila lebih kepada rondaan kumpulan tentera yang sentiasa ada di mana-mana lorong.

Manila dapat mentadbir wilayah tetapi hati orang-orang Tausug tidak bersama mereka. Maka tidak hairan jika berlaku serangan dan bebalas-balas serangan diantara MNLF,MILF, ABU SAYYAF dengan tentera Filipina.

Keadaan tidak aman jadi halangan kepada pembinaan ilmu, daya fikir dan juga pembangunan. Rata-rata penduduk Pulau Sulu miskin dan jahil.

Datu Laja Mura memikul tanggung jawab besar dan amat berat dalam menyatukan kaum Tausug. Pada tarikh 17 November 2008, hari Selasa, akan diadakan Paggulal Nakura Sin United Tausug Citizens yang bermaksud perlantikan ketua kaum Tausug.

Sunday, December 14, 2008

Laja Mura

Jolo, disebut holo ialah bandar Pulau Sulu,kini ditadbir oleh kerajaan Filipina. Ini kawasan resah, panas dan mudah berdarah. Ratusan tahun penduduk pulau ini menolak kehadiran bangsa asing, tentera Filipina tidak terkecuali.

Sejarah mereka ialah kerajaan Islam kesultanan Sulu. Sejak 603 tahun dahulu Islam telah datang ke tempat mereka. Aman dan berhikmah. Sehingga sekarang hampir 100 peratus penduduk di pulau ini beragama Islam. Masjid boleh dilihat di mana-mana.

Sepanyol, bangsa kristian barat datang untuk menjajah tetapi sampai akhirnya Pulau Sulu masih kental pertahankan maruah. Amerika Syarikat yang menang melawan Sepanyol di Cuba datang sebagai bangsa kristian barat yang baru. Sehingga mereka keluar, penduduk Pulau Sulu tetap dengan maruah Islam mereka.

Pulau Sulu dirangkum dalam kemerdekaan Filipina. Maka tentera Filipina pula menjadi tempat sasaran serangan.

Perang besar berlaku sekitar akhir tahun-tahun 60an dan awal 70an. Ramai yang lari ke Sabah sebagai pelarian. Mereka dari kaum Tausug yang dirangkum dalam kelompok Bangsamoro.

MNLF, MILF, ABU SAYYAF ialah jentera perang penduduk Islam selatan Filipina yang menentang pentadbiran kerajaan Filipina.

Sengkita yang lama menjadikan penduduk ramai miskin dan jahil.

Ada di kalangan mereka mengaku waris sultan Sulu tetapi lemah dalam kepimpinan. Kebanyakan mencari peluang dari kejahilan penduduk.

Datu Laja Mura atau Datu Raja Muda dari keturunan sultan Sulu di sebelah Aranam Puyo bangun menuntut hak. Dari Lahad Datu, Sabah, Datu Laja Mura atau dipanggil juga Datu Uda menyeberang lautan luas dan kembali ke Jolo.

Cita-cita Datu Laja Mura ialah menyatukan semula kaum Tausug dibawah daulat kesultanan Sulu. Dikumpulkan kaumnya, dibuat perisytiharan kemudian berarak di keliling bandar Jolo.

Gempar penduduk Pulau Sulu. Perarakan diulang-ulang lagi di bulan-bulan kemudian sehingga mencecah ribuan para hadirin.

Naskhah al-Quran yang dikirim dari semenanjung Malaysia hasil wakaf dari umat Islam diagih-agihkan percuma di hari perarakan.

Ribuan naskhah al-Quran telah diagihkan.

Semoga al-Quran jadi ikutan dan panduan mereka. Insya'Allah.

Wednesday, December 10, 2008

Jolo

Pulau Sulu terletak di tengah lautan antara Pulau Mindanao, Filipina dengan Sabah,Malaysia.Dari pulau ini, ramai kaum Tausug yang menjadi penduduk paling ramai memasuki Sabah baik melalui dokumen yang sah maupun secara tidak sah.

Sabah menjadi tanah harapan bagi kebanyakan mereka. Di Sabah mereka boleh mencari rezki yang lebih lumayan dari bandar Jolo, pusat pentadbiran Pulau Sulu.

Pasar-pasar ikan dan sayur menjadi tempat tumpuan kaum Tausug mencari sumber pendapatan.
Mereka juga dirangkumkan didalam kelompok Bangsamoro yang kini hebat diperjuangkan oleh Moro National Liberation Force dan Moro Islamic Liberation Force.

Walaupun begitu, kaum Tausug sedang berusaha membina jatidiri bangsa mereka. Maka, kedengaranlah laungan ' wilayah kerajaan kesultanan Sulu ' yang pernah berdiri sejak 603 tahun yang lalu.

Permainan yang licik oleh bangsa barat yang menganut Kristian telah dapat melumpuhkan sebuah kerajaan Islam yang kuat dahulu.

Bangsa barat pertama yang datang ialah bangsa Sepanyol yang sangat membenci Islam kerana banyak kerajaan beraja Kristian di tanah Sepanyol ranap oleh kehebatan tentera Islam, antara yang terbilang dan cemerlang ialah seorang panglima Islam bangsa Moor bernama Tariq bin Ziad.

Sehingga kini, bangsa barat masih menghormatinya dengan mengekalkan namanya di satu wilayah yang dipanggil Gilbratar atau ' The Rock of Tariq 'yang bermaksud Bungkah Batu Tariq.

Bangkitnya pula sebuah negara bangsa yang baru yang dipanggil Amerika Syarikat menyebabkan Sepanyol dihalau dari Filipina. Walaupun Sepanyol yang menemui dan menjelajah Amerika yang menyebabkan ramai bangsa Eropah terutama dari England yang berumah tangga di tempat yang baru, rasa kesombongan dan mahu merdeka menyebabkan rakayat negara baru ,Amerika Syarikat memberontak menentang tentera England, Perancis dan Sepanyol.

Amerika Syarikat akhirnya bertukar juga menjadi negara penjajah di Filipina.Umat Islam di Pulau Sulu tidak terkecuali menjadi sasaran.

Rempahn ratus dan emas menjadi sasaran bangsa barat pada masa itu.

Perang yang lama itu masih berterusan sehingga kini. Tentera serta pusat pentadbiran kerajaan Filipina menjadi sasaran serangan. Rupanya umat Islam di selatan Filipina tidak sanggup diperintah dibawah rejim Kristian.

Kira-kira pukul 6.30petang, hari Selasa, bertarikh 11 November 2008, saya dengan izin Allah telah sampai di bandar Jolo, Pulau Sulu, Filipina.

Monday, September 29, 2008

Moro

Mubaligh Islam itu tiba dengan menumpang perahu dagang. Maka gemparlah penempatan yang terletak hampir dengan laut itu. Dilihat mereka, seorang yang membalut seluruh tubuhnya dengan kain dan di kepala pula terletak satu gumpalan kain yang lain. Orang itu bermisai dan berjanggut rapi. ada bau-bauan yang harum pada orang tersebut.

Melalui juru bahasa yang datang bersama dengannya, orang tersebut meminta berjumpa dengan ketua suku penempatan. Setelah berjumpa, orang itu memberi beberapa hadiah yang sangat mengembirakan ketua suku kaum tersebut.

Permintaan orang baru itu yang ingin bermukim di tempat tersebut diterima dengan senang hati. Ketua suku kaum itu serta anak buahnya semakin mesra bergaul dengan orang baru itu.
Mereka juga melihat beberapa perbuatan yang agak aneh yang dilakukan oleh orang tersebut pada setiap hari dan malam.

Antaranya, orang tersebut dilihat membasuh beberapa anggota badannya dalam waktu-waktu tertentu. Selepas itu orang tersebut akan membuat beberapa pergerakan pada ketika berada di satu tempat yang tetap dengan menghadap seluruh badannya ke arah matahari jatuh sama ada pada waktu siang atau malam.

Rasa aneh itu bertukar kepada ingin tahu. Orang tersebut pun menceritakan tentang agama Islam.

Beberapa ketika berlalu, ketua suku kaum bersama keluarga dan penduduk tempatan tersebut pun memeluk Islam.

Agama Islam telah sampai di kepulauan Sulu dalam suasana aman dan itu pun yang dijanjikan oleh Islam. Tanpa paksaan dan kekerasan, mubaligh Islam itu telah berjaya membawa kalimah syahadah itu ke penempatan suku kaum tersebut, kini dikenali sebagai Tausug.

Bilik Suluk

Dalam umur 40 tahun, Muhammad kerap kali berulang alik ke Gua Hira' yang terletak di pinggir bandar Mekah. Keadaan Kaabah yang di kelilingi oleh ratusan berhala serta tabiat kaumnya yang suka minum arak, berzina dan berperang itu menjadikan dia tidak tenang dan tenteram.

Dengan mengikut ajaran Nabi Ibrahim a.s yang menganut agama Hanif, Muhammad bersendirian didalam Gua Hira' untuk beberapa hari dan malam. Apabila bekalan makanan yang dibawanya habis, Muhammad akan turun semula dari puncak bukit dimana terletaknya Gua Hira'.

Khadijah, seorang isteri yang ta'at, tetap menyediakan bekalan untuk Muhammad apabila tergerak di hati suaminya untuk bersendirian di Gua Hira'.

Suaminya, Muhammad, yang telah dikawini sejak 15 tahun yang lalu sedang melalui masa resah yang terubat bila dapat bersendirian didalam Gua Hira'. Tidak banyak yang boleh ditanya oleh Khadijah. Sudah tentu tidak banyak juga yang dapat dijawab oleh Muhammad.

Keresahan dalam diri Muhammad itu selalu menolaknya mendaki dan menurun batu-batu kerikil yang keras, tajam serta panas di bukit yang menampung Gua Hira'.

Suami tercinta itu yang dikawini ketika Muhammad berumur 25 tahun dan diri Khadijah sendiri sudah berumur 40 tahun dilepaskan juga dengan redha agar suaminya mendapat ketenangan jiwa di Gua Hira' yang sepi itu.

Sehinggalah pada suatu hari Muhammad pulang dengan lelah sekali bersekali dengan wajahnya yang pucat serta badannya menggeletar.

Rupanya, Malaikat Jibril telah datang ke Gua Hira' dengan membawa wahyu atau kalamullah pertama dari Allah yang menobatkan Muhammad sebagai Nabi dan Rasul-Nya.

Kisah Nabi Muhammad saw yang bersendirian di Gua Hira' itu didalam beberapa hari dan malam itu disebut juga dalam amalan tarekat sebagai bersuluk.

Sudah amat jarang sekali orang mencari gua untuk bersendirian bagi tujuan berzikir kepada Allah. Pada hari ini, para pengamal zikir tarekat lebih banyak menghabiskan masa bersendirian didalam bilik-bilik yang terdapat di penempatan pesantren atau pondok.

Ruang tempat ahli zikir bersendirian itu disebut sebagai bilik suluk. Mereka akan berada didalam bilik itu untuk beberapa hari dan malam tertentu - tujuannya untuk menundukkan nafsu serta membersihkan rohani dari sifat-sifat keji.

Bilik suluk yang diurus oleh para guru yang soleh telah banyak menghasilkan orang mukmin yang sangat kental dalam memperjuangkan agama Allah.

Bersendirian didalam bilik suluk walaupun tidak didalam sebuah gua dikira juga sebagai mengikut sunnah Rasulullah saw kerana sewaktu bersuluk atau bersendirian itu, zikir kepada Allah dilafazkan sambil bertafakur menghisab keaiban diri. Sudah tentulah perkara yang wajib seperti sembahyang fardhu tetap dibuat.

Inilah juga satun cara menundukkan nafsu ammarah.