Mubaligh Islam itu tiba dengan menumpang perahu dagang. Maka gemparlah penempatan yang terletak hampir dengan laut itu. Dilihat mereka, seorang yang membalut seluruh tubuhnya dengan kain dan di kepala pula terletak satu gumpalan kain yang lain. Orang itu bermisai dan berjanggut rapi. ada bau-bauan yang harum pada orang tersebut.
Melalui juru bahasa yang datang bersama dengannya, orang tersebut meminta berjumpa dengan ketua suku penempatan. Setelah berjumpa, orang itu memberi beberapa hadiah yang sangat mengembirakan ketua suku kaum tersebut.
Permintaan orang baru itu yang ingin bermukim di tempat tersebut diterima dengan senang hati. Ketua suku kaum itu serta anak buahnya semakin mesra bergaul dengan orang baru itu.
Mereka juga melihat beberapa perbuatan yang agak aneh yang dilakukan oleh orang tersebut pada setiap hari dan malam.
Antaranya, orang tersebut dilihat membasuh beberapa anggota badannya dalam waktu-waktu tertentu. Selepas itu orang tersebut akan membuat beberapa pergerakan pada ketika berada di satu tempat yang tetap dengan menghadap seluruh badannya ke arah matahari jatuh sama ada pada waktu siang atau malam.
Rasa aneh itu bertukar kepada ingin tahu. Orang tersebut pun menceritakan tentang agama Islam.
Beberapa ketika berlalu, ketua suku kaum bersama keluarga dan penduduk tempatan tersebut pun memeluk Islam.
Agama Islam telah sampai di kepulauan Sulu dalam suasana aman dan itu pun yang dijanjikan oleh Islam. Tanpa paksaan dan kekerasan, mubaligh Islam itu telah berjaya membawa kalimah syahadah itu ke penempatan suku kaum tersebut, kini dikenali sebagai Tausug.
Monday, September 29, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment