Dalam umur 40 tahun, Muhammad kerap kali berulang alik ke Gua Hira' yang terletak di pinggir bandar Mekah. Keadaan Kaabah yang di kelilingi oleh ratusan berhala serta tabiat kaumnya yang suka minum arak, berzina dan berperang itu menjadikan dia tidak tenang dan tenteram.
Dengan mengikut ajaran Nabi Ibrahim a.s yang menganut agama Hanif, Muhammad bersendirian didalam Gua Hira' untuk beberapa hari dan malam. Apabila bekalan makanan yang dibawanya habis, Muhammad akan turun semula dari puncak bukit dimana terletaknya Gua Hira'.
Khadijah, seorang isteri yang ta'at, tetap menyediakan bekalan untuk Muhammad apabila tergerak di hati suaminya untuk bersendirian di Gua Hira'.
Suaminya, Muhammad, yang telah dikawini sejak 15 tahun yang lalu sedang melalui masa resah yang terubat bila dapat bersendirian didalam Gua Hira'. Tidak banyak yang boleh ditanya oleh Khadijah. Sudah tentu tidak banyak juga yang dapat dijawab oleh Muhammad.
Keresahan dalam diri Muhammad itu selalu menolaknya mendaki dan menurun batu-batu kerikil yang keras, tajam serta panas di bukit yang menampung Gua Hira'.
Suami tercinta itu yang dikawini ketika Muhammad berumur 25 tahun dan diri Khadijah sendiri sudah berumur 40 tahun dilepaskan juga dengan redha agar suaminya mendapat ketenangan jiwa di Gua Hira' yang sepi itu.
Sehinggalah pada suatu hari Muhammad pulang dengan lelah sekali bersekali dengan wajahnya yang pucat serta badannya menggeletar.
Rupanya, Malaikat Jibril telah datang ke Gua Hira' dengan membawa wahyu atau kalamullah pertama dari Allah yang menobatkan Muhammad sebagai Nabi dan Rasul-Nya.
Kisah Nabi Muhammad saw yang bersendirian di Gua Hira' itu didalam beberapa hari dan malam itu disebut juga dalam amalan tarekat sebagai bersuluk.
Sudah amat jarang sekali orang mencari gua untuk bersendirian bagi tujuan berzikir kepada Allah. Pada hari ini, para pengamal zikir tarekat lebih banyak menghabiskan masa bersendirian didalam bilik-bilik yang terdapat di penempatan pesantren atau pondok.
Ruang tempat ahli zikir bersendirian itu disebut sebagai bilik suluk. Mereka akan berada didalam bilik itu untuk beberapa hari dan malam tertentu - tujuannya untuk menundukkan nafsu serta membersihkan rohani dari sifat-sifat keji.
Bilik suluk yang diurus oleh para guru yang soleh telah banyak menghasilkan orang mukmin yang sangat kental dalam memperjuangkan agama Allah.
Bersendirian didalam bilik suluk walaupun tidak didalam sebuah gua dikira juga sebagai mengikut sunnah Rasulullah saw kerana sewaktu bersuluk atau bersendirian itu, zikir kepada Allah dilafazkan sambil bertafakur menghisab keaiban diri. Sudah tentulah perkara yang wajib seperti sembahyang fardhu tetap dibuat.
Inilah juga satun cara menundukkan nafsu ammarah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment