Sunday, September 28, 2008

Imam Ali Dari Nabawan

Namanya Ali Chiusagud.Asalnya dari Nabawan, sebuah kampung dalam daerah Keningau, Sabah. Tempat tinggalnya itu bersempadan dengan Kalimantan yang terletak dalam negara Indonesia.

Kata Ali, bapanya dari suku Murut dan ibunya dari kaum Sungai. Kini, dia disebut dari suku Murut.

Bapanya ialah seorang polis yang asalnya hidup dalam anutan kepercayaan nenek moyang, disebut juga sebagai pagan. Pada suatu ketika,hidayah dari Allah mengetuk hati nurani ayahnya lalu dia pun bersyahadah.

Bapanya menjadi seorang Islam yang baik sebelum berkawin dengan ibunya yang datang dari keluarga Islam yang asal.

Sewaktu Ali masih belum remaja, dia dihantar belajar ke negeri Kelantan kira-kira enam tahun lamanya. Sewaktu tamat belajar di Kelantan dan pulang ke Nabawan, Ali dapati ayahnya telah pun meninggal dunia kira-kira tiga bulan sebelum kepulangannya.

Baju batik baru yang dibelinya di Kelantan yang dipesan ayahnya itu menjadi buah tangan yang tidak bersambut.

Walaupun begitu, setelah menempuh banyak kesukaran, Ali diterima sebagai seorang penjawat awam di Jabatan Hal Ehwal Islam Sabah yang bertempat di Keningau.

Ali dilantik menjadi imam di salah sebuah masjid. Maka, selepas itu dia dipanggil Imam Ali yang berasal dari Nabawan.

Dengan panggilan imam, darjat Ali di mata masyarakat turut sama naik seiring dengan ujian yang bakal diterimanya nanti.

Selepas perlantikan sebagai imam, terdetik dalam hati sanubari Ali keazaman yang tertanam kukuh iaitu hasratnya ingin mengajak seberapa ramai suku kaumnya menganut agama Islam.

Berbanyak-banyak puji kesyukuran kepada Allah, Tuhan yang menjadikan dunia ini dengan segala isinya, Ali telah beerperanan mengIslamkan hampir 7,000 orang dari kawasan daerah Keningau.

Ramadhan 1429 Hijrah membawa satu pengalaman baru baginya. Gabungan Badan-Badan Bukan Kerajaan termasuk juga dari Yayasan Itmam yang benyak menumpu kegiatan dakwahnya di Sabah dijemnput berbuka puasa serta bersolat bersama Perdana Menteri, Dato' Seri Haji Abdullah Ahmad Badawi.

Imam Ali dari Nabawan itu diminta menjadi imam solat maghrib, seterusnya Isya' dan diakhiri dengan sunat terawih bertempat di surau Seri Perdana, kediaman resmi Perdana Menteri Malaysia.

Mereka yang menjadi makmumnya termasuklah perdana menteri, beberapa menteri dan juga kira-kira hampir 150 orang lagi.

Orang kecil yang tidak ada cita-cita besar melainkan meredhakan dirinya untuk jalan Allah. Imam Ali dari Nabawan telah melakarkan sejarah sebagai seorang imam yang pernah seorang perdana menteri Malaysia menjadi makmum dalam sembahyang di kediaman resmi pemimpin utama negara.

No comments: