Sunday, September 28, 2008

Jejak Mujahid

Sewaktu Nabi Adam a.s serta isterinya Hawa - pasangan manusia pertama yang diciptakan Allah SWT- berkampung di bumi dunia ini, pertembungan antara yang hak dan batil telah mula berlaku semasa hayat mereka.

Pertembungan yang bermula dari rasa cemburu berakhir dengan peristiwa amat tragis.Apa yang dibimbangi oleh malaikat sewaktu menyoal Allah SWT yang menciptakan manusia untuk menjadi khalifah di bumi sudah pun berlaku.

Anak lelaki Nabi Adam a.s bersama Hawa, Qabil namanya telah jatuh ghairah terhadap kembar perempuannya yang diharamkan dikawininya oleh peraturan Allah pada masa itu. Qabil dibolehkan berkawin dengan kembar perempuan saudaranya Habil yang paras wajah serta susuk tubuh tidak cantik seperti kembar perempuannya. Itulah ujian Allah yang ditimpakan keatas Qabil.

Oleh kerana cemburu kepada saudaranya yang bernama Habil yang bakal dijodohkan dengan kembar perempuannya, Qabil sanggup mengikut nafsu ammarahnya yang ditunggangi oleh syaitan lalu membunuh saudaranya, Habil.

Qabil tidak dapat melalui ujian Allah itu lalu jatuh kedalam golongan yang derhaka, satu barisan dengan iblis dan syaitan. Qabil juga tenggelam dalam desakan nafsu ammarah yang tidak upayanya mendidik. Sesungguhnya, jika Qabil dapat mendidik nafsu ammarahnya yang berkemungkinan boleh ditunduk menjadi nafsu mutmainah, maka layaklah Qabil diajak Allah masuk kedalam syurga Jannah-Nya di akhirat nanti.

Malangnya, Qabil memilih tipu daya dunia yang berwajah seorang kembar perempuannya yang cantik melebihi dari janji syurga Allah di akhirat kemudian.

Ahli sejarah berpendapat, pembunuhan pertama itu dikatakan pekerjaan terkutuk yang tertua dilakukan di dunia yang kemudian diikuti oleh pelacuran.

Maka berjaya jugalah tipu helah bagi kali keduanya oleh gerombolan syaitan yang menjadi juru rasuk dan utusan kepada iblis laknatullahi 'alaihi.

Kali pertama operasi sekutu iblis - syaitan - lakukan dengan meniti diatas kealpaan Nabi Adam a.s dan Hawa - pada masa itu berkampung didalam syurga - yang telah berjaya dilobi supaya memakan buah dari pokok terlarang.

Akibat dari melanggar pantang Allah , pasangan suami isteri itu disuruh berkampung di bumi yang turut serta nafsu didalam diri serta iblis yang dibantu gerombolan syaitan, sekutu akrab.

Bermula dari zaman Nabi Adam a.s sehinggalah sekarang, pertempuran yang sengit tanpa ada sekatan senjata terus berlaku sehingga kini dan juga sampai kiamat nanti antara yang hak - diwakili iman dan akal - dengan yang batil - diwakili iblis, syaitan dan nafsu.

Maka, mereka yang berada serta membantu di pihak yang hak dalam apa bentuk dan suasana pun dikenali sebagai mujahid atau mereka yang berjuang di jalan Allah.

Sangatlah baik sekali- dengan hidayah dari Allah- kita semua mengikut JEJAK MUJAHID.

No comments: