Monday, September 29, 2008

Moro

Mubaligh Islam itu tiba dengan menumpang perahu dagang. Maka gemparlah penempatan yang terletak hampir dengan laut itu. Dilihat mereka, seorang yang membalut seluruh tubuhnya dengan kain dan di kepala pula terletak satu gumpalan kain yang lain. Orang itu bermisai dan berjanggut rapi. ada bau-bauan yang harum pada orang tersebut.

Melalui juru bahasa yang datang bersama dengannya, orang tersebut meminta berjumpa dengan ketua suku penempatan. Setelah berjumpa, orang itu memberi beberapa hadiah yang sangat mengembirakan ketua suku kaum tersebut.

Permintaan orang baru itu yang ingin bermukim di tempat tersebut diterima dengan senang hati. Ketua suku kaum itu serta anak buahnya semakin mesra bergaul dengan orang baru itu.
Mereka juga melihat beberapa perbuatan yang agak aneh yang dilakukan oleh orang tersebut pada setiap hari dan malam.

Antaranya, orang tersebut dilihat membasuh beberapa anggota badannya dalam waktu-waktu tertentu. Selepas itu orang tersebut akan membuat beberapa pergerakan pada ketika berada di satu tempat yang tetap dengan menghadap seluruh badannya ke arah matahari jatuh sama ada pada waktu siang atau malam.

Rasa aneh itu bertukar kepada ingin tahu. Orang tersebut pun menceritakan tentang agama Islam.

Beberapa ketika berlalu, ketua suku kaum bersama keluarga dan penduduk tempatan tersebut pun memeluk Islam.

Agama Islam telah sampai di kepulauan Sulu dalam suasana aman dan itu pun yang dijanjikan oleh Islam. Tanpa paksaan dan kekerasan, mubaligh Islam itu telah berjaya membawa kalimah syahadah itu ke penempatan suku kaum tersebut, kini dikenali sebagai Tausug.

Bilik Suluk

Dalam umur 40 tahun, Muhammad kerap kali berulang alik ke Gua Hira' yang terletak di pinggir bandar Mekah. Keadaan Kaabah yang di kelilingi oleh ratusan berhala serta tabiat kaumnya yang suka minum arak, berzina dan berperang itu menjadikan dia tidak tenang dan tenteram.

Dengan mengikut ajaran Nabi Ibrahim a.s yang menganut agama Hanif, Muhammad bersendirian didalam Gua Hira' untuk beberapa hari dan malam. Apabila bekalan makanan yang dibawanya habis, Muhammad akan turun semula dari puncak bukit dimana terletaknya Gua Hira'.

Khadijah, seorang isteri yang ta'at, tetap menyediakan bekalan untuk Muhammad apabila tergerak di hati suaminya untuk bersendirian di Gua Hira'.

Suaminya, Muhammad, yang telah dikawini sejak 15 tahun yang lalu sedang melalui masa resah yang terubat bila dapat bersendirian didalam Gua Hira'. Tidak banyak yang boleh ditanya oleh Khadijah. Sudah tentu tidak banyak juga yang dapat dijawab oleh Muhammad.

Keresahan dalam diri Muhammad itu selalu menolaknya mendaki dan menurun batu-batu kerikil yang keras, tajam serta panas di bukit yang menampung Gua Hira'.

Suami tercinta itu yang dikawini ketika Muhammad berumur 25 tahun dan diri Khadijah sendiri sudah berumur 40 tahun dilepaskan juga dengan redha agar suaminya mendapat ketenangan jiwa di Gua Hira' yang sepi itu.

Sehinggalah pada suatu hari Muhammad pulang dengan lelah sekali bersekali dengan wajahnya yang pucat serta badannya menggeletar.

Rupanya, Malaikat Jibril telah datang ke Gua Hira' dengan membawa wahyu atau kalamullah pertama dari Allah yang menobatkan Muhammad sebagai Nabi dan Rasul-Nya.

Kisah Nabi Muhammad saw yang bersendirian di Gua Hira' itu didalam beberapa hari dan malam itu disebut juga dalam amalan tarekat sebagai bersuluk.

Sudah amat jarang sekali orang mencari gua untuk bersendirian bagi tujuan berzikir kepada Allah. Pada hari ini, para pengamal zikir tarekat lebih banyak menghabiskan masa bersendirian didalam bilik-bilik yang terdapat di penempatan pesantren atau pondok.

Ruang tempat ahli zikir bersendirian itu disebut sebagai bilik suluk. Mereka akan berada didalam bilik itu untuk beberapa hari dan malam tertentu - tujuannya untuk menundukkan nafsu serta membersihkan rohani dari sifat-sifat keji.

Bilik suluk yang diurus oleh para guru yang soleh telah banyak menghasilkan orang mukmin yang sangat kental dalam memperjuangkan agama Allah.

Bersendirian didalam bilik suluk walaupun tidak didalam sebuah gua dikira juga sebagai mengikut sunnah Rasulullah saw kerana sewaktu bersuluk atau bersendirian itu, zikir kepada Allah dilafazkan sambil bertafakur menghisab keaiban diri. Sudah tentulah perkara yang wajib seperti sembahyang fardhu tetap dibuat.

Inilah juga satun cara menundukkan nafsu ammarah.


Ammarah

Sebaik Nabi Yusuf a.s dibebaskan dari penjara kerajaan Mesir, kisahnya yang difitnah oleh Zulaikha telah diketahui oleh al-Aziz, pemimpin utama Mesir.

Maka, al-Aziz perintahkan Zulaikha datang mengadap serta bertanya:" Kenapakah kamu memfitnah Yusuf ?"

Zulaikha pun mengaku:" Sesungguhnya aku terikutkan pujukan nafsu ammarah."

Seusai kira bicara tentang fitnah serta begitu dan begini, Zulaikha membawa diri jauh dari puncak kuasa - membanyakkan taubat, bersendirian dan hidup sekadar saja.

Diri Zulaikha tidak lagi di kelilingi para dayang serta juak. Pakaian fakir telah menggantikan sutera serta emas yang bertatahkan berlian. Nampak olehnya bahaya akhirat lebih besar dari melayani nafsu ammarah.

Ammarah pun semakin kurang, seiring dengan itu tidak lagi teruja dengan anak muda yang berwajah cantik serta tidak lestari lagi dengan majlis minum yang di isi dengan hilai ketawa .

Cerita yang sampai sehingga kini menyebut, pada satu ketika Nabi Yusuf a.s terserempak dengan Zulaikha yang solehah dengan kehidupan yang seadanya. Apabila disapa Yusuf, Zulaikha berkata: " Aku tidak mengenali kamu. Pergilah dari sini."

Lalu Yusuf bercerita kisah lama sewaktu Zulaikha jatuh ghairah kepadanya dari dorongan nafsu ammarah.

Maka, teramat malulah Zulaikha bila terkenang masa muda yang buas. Usianya yang tua itu dirasakan memadai untuk dikuburkan kenangan yang jijik itu.

Nafsu ammarahnya telah dapat ditundukkan. Hati sanubarinya telah diisi dengan nafsu yang baik. Lambaian keindahan dunia yang sementara itu telah lama tidak dipedulikan.

Walaupun begitu, Allah - Tuhan Maha Berkuasa - telah menukarkan Zulaikha yang tua menjadi muda kembali dan berkawin dengan Nabi Yusuf a.s. Wallahu 'alam.

Sunday, September 28, 2008

Imam Ali Dari Nabawan

Namanya Ali Chiusagud.Asalnya dari Nabawan, sebuah kampung dalam daerah Keningau, Sabah. Tempat tinggalnya itu bersempadan dengan Kalimantan yang terletak dalam negara Indonesia.

Kata Ali, bapanya dari suku Murut dan ibunya dari kaum Sungai. Kini, dia disebut dari suku Murut.

Bapanya ialah seorang polis yang asalnya hidup dalam anutan kepercayaan nenek moyang, disebut juga sebagai pagan. Pada suatu ketika,hidayah dari Allah mengetuk hati nurani ayahnya lalu dia pun bersyahadah.

Bapanya menjadi seorang Islam yang baik sebelum berkawin dengan ibunya yang datang dari keluarga Islam yang asal.

Sewaktu Ali masih belum remaja, dia dihantar belajar ke negeri Kelantan kira-kira enam tahun lamanya. Sewaktu tamat belajar di Kelantan dan pulang ke Nabawan, Ali dapati ayahnya telah pun meninggal dunia kira-kira tiga bulan sebelum kepulangannya.

Baju batik baru yang dibelinya di Kelantan yang dipesan ayahnya itu menjadi buah tangan yang tidak bersambut.

Walaupun begitu, setelah menempuh banyak kesukaran, Ali diterima sebagai seorang penjawat awam di Jabatan Hal Ehwal Islam Sabah yang bertempat di Keningau.

Ali dilantik menjadi imam di salah sebuah masjid. Maka, selepas itu dia dipanggil Imam Ali yang berasal dari Nabawan.

Dengan panggilan imam, darjat Ali di mata masyarakat turut sama naik seiring dengan ujian yang bakal diterimanya nanti.

Selepas perlantikan sebagai imam, terdetik dalam hati sanubari Ali keazaman yang tertanam kukuh iaitu hasratnya ingin mengajak seberapa ramai suku kaumnya menganut agama Islam.

Berbanyak-banyak puji kesyukuran kepada Allah, Tuhan yang menjadikan dunia ini dengan segala isinya, Ali telah beerperanan mengIslamkan hampir 7,000 orang dari kawasan daerah Keningau.

Ramadhan 1429 Hijrah membawa satu pengalaman baru baginya. Gabungan Badan-Badan Bukan Kerajaan termasuk juga dari Yayasan Itmam yang benyak menumpu kegiatan dakwahnya di Sabah dijemnput berbuka puasa serta bersolat bersama Perdana Menteri, Dato' Seri Haji Abdullah Ahmad Badawi.

Imam Ali dari Nabawan itu diminta menjadi imam solat maghrib, seterusnya Isya' dan diakhiri dengan sunat terawih bertempat di surau Seri Perdana, kediaman resmi Perdana Menteri Malaysia.

Mereka yang menjadi makmumnya termasuklah perdana menteri, beberapa menteri dan juga kira-kira hampir 150 orang lagi.

Orang kecil yang tidak ada cita-cita besar melainkan meredhakan dirinya untuk jalan Allah. Imam Ali dari Nabawan telah melakarkan sejarah sebagai seorang imam yang pernah seorang perdana menteri Malaysia menjadi makmum dalam sembahyang di kediaman resmi pemimpin utama negara.

Peringkat-Peringkat Nafsu

Ahli Tasawuf dan juga kelompok sufi dalam agama Islam dikatakan dapat mengenali serta membahagikan nafsu yang bersarang dalam sanubari manusia itu paling kurang dalam tujuh peringkat.

Peringkat yang paling rendah, bahaya dan boleh merosak manusia sehingga boleh jatuh ke neraka dikenali sebagai nafsu ammarah. Berikut ialah peringkat-peringkat nafsu:
1. Ammarah
2. Lawamah
3. Mulhimmah
4. Mutmainah
5. Radhiah
6. Mardhiah
7. Kamilah.

Manusia yang beriman yang mencapai peringkat nafsu mutmainah sudah pasti dipanggil serta dialu-alukan oleh Allah untuk menjadi tetamu-Nya didalam syurga Jannah.

Jejak Mujahid

Sewaktu Nabi Adam a.s serta isterinya Hawa - pasangan manusia pertama yang diciptakan Allah SWT- berkampung di bumi dunia ini, pertembungan antara yang hak dan batil telah mula berlaku semasa hayat mereka.

Pertembungan yang bermula dari rasa cemburu berakhir dengan peristiwa amat tragis.Apa yang dibimbangi oleh malaikat sewaktu menyoal Allah SWT yang menciptakan manusia untuk menjadi khalifah di bumi sudah pun berlaku.

Anak lelaki Nabi Adam a.s bersama Hawa, Qabil namanya telah jatuh ghairah terhadap kembar perempuannya yang diharamkan dikawininya oleh peraturan Allah pada masa itu. Qabil dibolehkan berkawin dengan kembar perempuan saudaranya Habil yang paras wajah serta susuk tubuh tidak cantik seperti kembar perempuannya. Itulah ujian Allah yang ditimpakan keatas Qabil.

Oleh kerana cemburu kepada saudaranya yang bernama Habil yang bakal dijodohkan dengan kembar perempuannya, Qabil sanggup mengikut nafsu ammarahnya yang ditunggangi oleh syaitan lalu membunuh saudaranya, Habil.

Qabil tidak dapat melalui ujian Allah itu lalu jatuh kedalam golongan yang derhaka, satu barisan dengan iblis dan syaitan. Qabil juga tenggelam dalam desakan nafsu ammarah yang tidak upayanya mendidik. Sesungguhnya, jika Qabil dapat mendidik nafsu ammarahnya yang berkemungkinan boleh ditunduk menjadi nafsu mutmainah, maka layaklah Qabil diajak Allah masuk kedalam syurga Jannah-Nya di akhirat nanti.

Malangnya, Qabil memilih tipu daya dunia yang berwajah seorang kembar perempuannya yang cantik melebihi dari janji syurga Allah di akhirat kemudian.

Ahli sejarah berpendapat, pembunuhan pertama itu dikatakan pekerjaan terkutuk yang tertua dilakukan di dunia yang kemudian diikuti oleh pelacuran.

Maka berjaya jugalah tipu helah bagi kali keduanya oleh gerombolan syaitan yang menjadi juru rasuk dan utusan kepada iblis laknatullahi 'alaihi.

Kali pertama operasi sekutu iblis - syaitan - lakukan dengan meniti diatas kealpaan Nabi Adam a.s dan Hawa - pada masa itu berkampung didalam syurga - yang telah berjaya dilobi supaya memakan buah dari pokok terlarang.

Akibat dari melanggar pantang Allah , pasangan suami isteri itu disuruh berkampung di bumi yang turut serta nafsu didalam diri serta iblis yang dibantu gerombolan syaitan, sekutu akrab.

Bermula dari zaman Nabi Adam a.s sehinggalah sekarang, pertempuran yang sengit tanpa ada sekatan senjata terus berlaku sehingga kini dan juga sampai kiamat nanti antara yang hak - diwakili iman dan akal - dengan yang batil - diwakili iblis, syaitan dan nafsu.

Maka, mereka yang berada serta membantu di pihak yang hak dalam apa bentuk dan suasana pun dikenali sebagai mujahid atau mereka yang berjuang di jalan Allah.

Sangatlah baik sekali- dengan hidayah dari Allah- kita semua mengikut JEJAK MUJAHID.